Saturday, December 25, 2010

Aku tak apa, orang lain tak boleh.

                                                    Gambar hiasan

Seperti biasa setiap kali hari Jumaat, aku akan bersembahyang Jumaat di sebuah mesjid di daerahku. Setiap kali Jumaat juga di mesjid itu, orang yang sama iaitu Ahmad(bukan nama sebenar) akan menjadi muaz'zin(bilal) walaupun khatib yang bertugas membaca khutbah akan bersilih ganti. Pada suatu hari Jumaat, Ahmad tidak bertugas dan aku melihat orang lain menjadi bilal  melaungkan azan kedua sebelum khatib membaca khutbah. Ahmad berada berhampiran denganku berdiri menyandar di dinding mesjid bersama seorang lagi rakan.

Sebagaimana biasa sebelum khatib mula membaca khutbah, bilal akan membaca sepotong hadis yang antara  maksudnya, "...........dan janganlah kamu bercakap-cakap ketika khatib membaca khutbah. Jika kamu berkata-kata hatta berkata 'DIAM' sekalipun kepada rakan kamu, maka hilanglah pahala Jumaat kamu. Jadi hendaklah kamu mendengar dan taat mudah-mudahan kamu mendapat rahmat" Hadis ini akan terus diulang-ulang setiap kali sembahyang Jumaat sebelum khatib membaca khutbah.Begitu juga Ahmad, akan turut menyampaikan pesanan ini apabila giliran dia bertugas sebagai bilal melaungkan azan kedua.

Namun begitu pada hari Jumaat tersebut sewaktu khatib membaca khutbah, aku melihat Ahmad terus berbual-bual dengan rakannya sambil berdiri di tepi dinding mesjid di sebelahku. Gelagat mereka turut diperhatikan oleh jemaah yang lain. Mereka terus berbual-bual sehinggalah selesai khutbah yang pertama. Mereka hanya berhenti berbual apabila khatib membaca khutbah yang kedua. Tumpuanku kepada isi khutbah memang terganggu bila melihat gelagat mereka. Terfikir difikiranku kenapakah orang yang sering menyampaikan pesanan sebelum khatib membaca khutbah supaya semua jemaah diam dan memberi tumpuan kepada khatib boleh bersembang semasa khatib membaca khutbah dan gelagatnya dapat dilihat oleh semua ahli jemaah? Apakah pesanannya selama ini hanya semata-mata untuk memenuhi tugas sebagai bilal sahaja? Apakah dia merasakan bahawa dia terkecuali kerana dia bilal, dan tidak perlu mematuhi atau menunjukkan teladan yang baik kepada semua jemaah?

Pada hari ini, kita mempunyai ramai tenaga yang boleh bercakap, berkhutbah atau berceramah, tapi kita kekurangan tenaga dalam menampilkan contoh-contoh. Kadang-kadang orang yang sering bercakap pasal kasih sayang itu, jiwanya penuh dengan perasaan benci. Orang yang sering bercakap pasal perpaduan sering mempamerkan permusuhan dalam tindakannya. Hal sebegini juga boleh berlaku pada diri kita sendiri. Kita tahu bahawa mengumpat, mengeji, mencaci, memfitnah itu haram dan berdosa tetapi adakalanya kita melakukannya tanpa kita sedari.

Maka marilah kita sama-sama merenung  ayat Al Quran Surah As Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata-kata perkara yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu berkata-kata perkara-perkara yang kamu tidak kerjakan."


Jumpa lagi.

1 comment:

  1. En. Shamlan, ira sokong 100%..
    manusia ni mmg mcm tuh..tu namanya buat kerja x ikhlas..cukup bulan, gaji masuk..

    pandai bercakap tp x pandai bertindak..

    sapalah nama bilal tuh yang sebenarnya erk?

    http://www.mrskamal23.blogspot.com

    ReplyDelete