Wednesday, December 22, 2010

Anok tu apa ayah?

 
Gambar-gambar di atas diambil dari sebuah laman blog.


"Anok tu apa ayah?, loghat Negeri Sembilan ke?" Anakku Aida yang beumur 9 tahun pernah bertanya soalan itu apabila dia melayari facebook aku yang menggunakan nama samaran Anok. Perkataan itu tentulah asing bagi mereka kerana mereka dilahirkan dalam zaman di mana peralatan tradisional seperti anok, lesung kaki, kuku kambing, taut, tuar, serkap, bubu, kukur kelapa, badang dan lain-lain sudah tidak kedapatan lagi samada di  dalam rumah atau di halaman rumah. Kalau ada pun peralatan tersebut, ia hanya tersimpan di dalam stor atau di belakang rumah-rumah kampung. Anak-anak sekarang membesar dalam zaman 'play station', kereta 'remote control' ASTRO dan KFC.

Anok adalah sejenis kenderaan tanpa roda yang ditarik oleh kerbau. Ia digunakan untuk mengangkut guni-guni padi di tengah sawah yang berlumpur ke daratan atau jalan bendang yang lebih rata. Kemudian padi-padi tersebut akan diangkut dengan lori ke tempat lain atau dibawa balik ke rumah untuk dijemur. Padi yang telah kering dijemur dan 'dianginkan'kemudian disimpan dalam rumah kecil yang dipanggil jelapang. Jika petani tersebut  inginkan beras, padi tersebut dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke kilang beras berhampiran dengan basikal tua untuk dimesin menjadi beras. Jika mereka inginkan wang, padi tersebut akan dibawa ke kedai cina berhampiran untuk dijual. Ada juga pengantin baru diarak menaiki anok.Tetapi pemandangan begitu sudah tiada lagi. Orang yang menanam padipun membeli beras dikedai untuk kegunaan sendiri. Peralatan moden mengambil alih penanaman padi. Maka kenderaan anok pun sudah tiada lagi.

Anok adalah lambang penderitaan, kegetiran, kemiskinan, kepayahan penduduk kampung zaman dahulu. Mereka berjuang untuk hidup, membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Sewaktu kecil aku pernah menumpang menaiki anok dan duduk di atas guni padi. Maka bertambah lagilah beban kerbau tersebut. Aku juga melihat betapa menderitanya sang kerbau menarik anok dengan kayu bengkok penyambung lengan anok berada di atas tengkuknya dengan 2 atau tiga guni padi berada di atas anok tersebut. Kalau kerbau tersebut digantikan dengan orang untuk menarik anok tersebut, bayangkan apa akan terjadi.

Belajarlah untuk tidak merungut,berkeluh kesah dengan kesukaran dan kepayahan yang dihadapi.  Bersyukurlah dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Kalau selama ini kita hanya memerhati sahaja kejayaan orang dan bercerita tentang kejayaan orang, maka sudah tiba masanya untuk kita juga turut berjaya dan membiarkan orang lain pula bercerita tentang kejayaan kita. Anggaplah segala kesukaran dan masalah sebagai cabaran, bukan halangan. Kejayaan yang diperolehi dalam keadaan serba sukar dan serba kekurangan, itu adalah petanda satu pengurusan hidup yang cemerlang. Kejayaan yang diperolehi dalam keadaan semua kemudahan telah tersedia, itu adalah pencapaian yang biasa sahaja walaupun boleh dibanggakan.

"Aku sering bersedih kerana tidak mempunyai kasut, sehinggalah aku terjumpa orang yang tidak ada kaki"
 - Unknown

Jumpa lagi.

No comments:

Post a Comment