Tuesday, December 21, 2010

Salam Perkenalan

Assalamualaikum. Saya Shamlan Bin Halim, akan bersama anda memeriahkan dunia blog. Fokus blog saya adalah pengalaman-pengalaman hidup masa lalu yang boleh dijadikan panduan untuk menerajui hidup masa depan. Kisah-kisah motivasi yang menaikkan semangat. Sekali sekala bercerita hal-hal politik tanahair. Saya seorang pegawai agensi kerajaan yang sering dijemput menyampaikan ceramah mengenai pengurusan kewangan dan akaun kepada usahawan-usahawan kecil peserta-peserta kursus anjuran pelbagai jabatan.

Pengalaman hidup yang getir adalah guru terbaik dalam kehidupan. Menjadi anak yatim pada usia 11 tahun bersama 4 lagi kakak. Hilang dahan tempat bergantung dan terpaksa berdikari. Pernah keputusan wang dan makanan. Mencari sendiri ikan di bendang untuk dibuat lauk dengan cara menyerkap, tahan 'taut'( sejenis joran pendek yang dipacak di batas bendang), tahan 'tuar',  menyeluk lubang-lubang yang muncul di tebing sungai apabila air surut untuk menangkap ikan haruan. Adakalanya menarik ular tanah dan biawak yang keluar dari lubang tersebut. Apabila hilang takut dan terkejut, menyeluk kembali lubang-lubang tersebut tanpa memikirkan risiko. Mengutip tangkai-tangkai padi yang tercicir dari jentera penuai untuk dijual semula. Hampir-hampir dipatuk ular senduk apabila mengambil upah mengetam padi. Sedih melihat kuih yang dibuat oleh ibu tidak habis dijual dan akhirnya tolong habiskan sendiri.

Terlalu banyak kenangan yang mengusik jiwa. Anak-anakku tidak merasai keperitan ini semua.

Jumpa lagi.

1 comment:

  1. kesusahan dan keperitan hidup bukan untuk diwarisi tetapi untuk diinsafi

    ReplyDelete