Tuesday, August 14, 2012

SALAM RAMADAN

Assalamualaikum

Selamat menjalani ibadah puasa  kepada semua pembaca dan pelawat blog anokdibendang.blogspot.com. Sudah lama tidak menulis dalam blog ini, cuma membaca blog orang lain. Bukan tidak ada modal untuk menulis, tetapi sibuk dengan urusan lain. Akan kembali menulis selepas raya, Insya Allah.

Sekarang kita semua berada di 10 akhir Ramadan. Ramai yang melipatgandakan amalan untuk mengejar ganjaran lailatulqadar. Beruntunglah orang yang memperolehinya.

Salam Aidil Fitri yang bakal menjelma. Pohon banyak kemaafan di atas segala keterlanjuran dan kesilapanku selama ini.

Sekian.


ANOKDIBENDANG

Wednesday, March 28, 2012

PROGRAM KEMBARA USAHAWAN KE BANDAR HO CHI MINH, VIETNAM PADA 22 HINGGA 25 MAC 2012

PROGRAM KEMBARA USAHAWAN KE HO CHI MINH CITY, VIETNAM INI ADALAH ANJURAN PEJABAT MARA DAERAH KOTA SETAR. ANTARA TEMPAT YANG DILAWATI IALAH KILANG MEMBUAT PAKAIAN, KILANG KRAF, BEN THARN MARKET, PASAR BORONG AN DONG, CHU CHI TUNNEL DAN PEJABAT MATRADE.

                 BAS PELANCONG YANG MEMBAWA ROMBONGAN DI HO CHI     MINH CITY


DI BANDAR HO CHI MINH INI (DULU DIKENALI SBG. SAIGON) MOTOSIKAL LEBIH BANYAK DARI KENDERAAN LAIN.


ANTARA RESTORAN MAKANAN ISLAM YANG TERDAPAT DI HCMC. ADA YANG DIUSAHAKAN OLEH RAKYAT MALAYSIA


ANTARA MENU MASAKAN MELAYU DI RESTORAN MAKANAN HALAL. SEDAP!!!!!


TERDAPAT  SEBUAH MESJID DI HCMC YANG MENJADI TUMPUAN PELANCONG.


PENCUCI KASUT JALANAN YANG BEREBUT PELANGGAN. INGATKAN MURAH. ADA YANG TERPAKSA BAYAR SAMPAI RM48.00, LEBIH MAHAL DARI HARGA KASUT.



                                                    SEKITAR PASAR BORONG AN DONG.


PENJUAL JALANAN, PERLU PANDAI TAWAR MENAWAR JIKA BERMINAT.


ANTARA PESERTA ROMBONGAN USAHAWAN MARA SERAMAI 26 0RANG


                                 RUANG PAMERAN KILANG MEMBUAT KRAF DI HCMC


                                   KEBANYAKAN PEKERJA KILANG INI TERDIRI DARI OKU



                      PERJUMPAAN USAHAWAN DENGAN PEGAWAI MATRADE DI HCMC



MENEMBAK DENGAN MENGGUNAKAN PELURU HIDUP DENGAN BAYARAN 20,000 DONG SATU PELURU.


JERANGKAP SAMAR  DI MANA DIDALAM LUBANGNYA DIPACAK BULUH RUNCING





RANGKAIAN TEROWONG BAWAH TANAH YANG PANJANGNYA MELEBIHI 200KM




ANTARA   CONTOH JERANGKAP SAMAR YANG TERDAPAT DI CU CHI TUNNEL



BANGSAL TENTERA BAWAH TANAH


                              PASAR MALAM SEBELAH BEN THARN MARKET( Gambar Google)
BOLEH MEMBELI BELAH DI SINI TETAPI MESTI PANDAI TAWAR MENAWAR. KEPADA KAUM LELAKI BERSEDIALAH TANGAN ANDA DIPEGANG OLEH JURUJUAL YANG PANDAI MENGGODA SEHINGGALAH ANDA MEMBELINYA.



 BEN THARN MARKET. DIBUKA WAKTU SIANG SAHAJA. SEGALANYA ADA DISINI.


 PASAR BORONG AN DONG. DENGAN KELUASAN YANG SEMPIT BAGI SETIAP PENIAGA, MEREKA MAMPU BERNIAGA BORONG.


HOTEL TAN HAI LONG. BERSEBELAHAN DENGAN PASAR MALAM DAN BEN THARN MARKET. MAKANAN HALAL DISEDIAKAN TETAPI DI LETAK DI MEJA BERSEBELAHAN MAKANAN TAK HALAL. ADAKAH IA BERKONGSI DAPUR, PISAU DAN CHOPPING  BOARD YANG SAMA?

Monday, January 30, 2012

HARIMAU YANG GARANG BOLEH DIJINAKKAN DENGAN SEKETUL DAGING


Apabila aku melihat gambar harimau, aku teringat kisah seorang bapa yang angkuh dan meninggi diri yang datang menemuiku semasa aku mengajar di sebuah institusi kemahiran. Pada masa itu aku adalah Setiausaha Peperiksaan institusi tersebut. Jawatan itu aku pegang enam tahun lamanya. Tugas utamaku membantu jawatankuasa peperiksaan membuat perancangan ujian dan menguruskan peperiksaan meliputi penyusunan jadual, melantik pengawas bertugas, mencetak kertas soalan sehinggalah kepada urusan keputusan peperiksaan dikeluarkan kepada pelatih.

Pada suatu hari seorang bapa datang menemuiku untuk bertanyakan keputusan peperiksaan akhir tahun anaknya. Oleh kerana urusan tersebut berkaitan dengan peperiksaan, maka petugas kaunter pejabat akan meminta bapa berkenaan untuk datang membincangkan masalah tersebut denganku. Lelaki tersebut berpakaian seluar jeans, bercermin mata agak gelap dan memakai topi Baretta. Gaya jalannya nampak macam orang berada atau orang hebatlah katakan. Anaknya gagal dalam satu subjek dan ini menyebabkan anaknya akan terpaksa mengulang sekali lagi dan terlepas peluang untuk menghadiri Majlis Konvokesyen institut yang akan diadakan selepas itu.

Lelaki tersebut mempersoalkan kenapa anaknya boleh gagal dalam subjek tersebut seolah-olah pemeriksa kertas jawapan sengaja menggagalkan anaknya. Dia memaksa supaya keputusan peperiksaan anaknya disemak semula untuk membolehkan anaknya tamat pengajian dan menghadiri majlis konvokesyen. sebagaimana biasa aku akan memberi jawapan-jawapan kenapa seseorang pelajar boleh gagal dalam sesuatu subjek. Antaranya mungkin tidak dapat menjawab soalan dengan baik, tidak memenuhi kehendak soalan dan mencadangkan pelajar tersebut mengulang kertas yang dia gagal. Lelaki tersebut tidak berpuashati dan dengan sombongnya memberitahu bahawa dia akan menelefon Ketua Pengarah di ibu pejabat dan mendakwa bahawa KP tersebut adalah kawan baiknya.

Buntu bila  berhadapan dengan kerenah lelaki tersebut, aku menghubungi ketua kursus pelatih berkenaan supaya menyelesaikan masalah tersebut. Kuterangkan sedikit sebanyak keadaan lelaki tersebut yang sedang marah-marah. Kemudian aku membawa lelaki tersebut berjumpa ketua kursus. Kebetulan ketua kursus tersebut sedang menuju ke kantin dan mengajak kami berdua untuk bersarapan di kantin. Selepas bersalaman, ketua kursus tersebut bertanya soalan, "You ni bekas pelajar MCKK ke?" Ini adalah kerana lelaki berkenaan memakai topi Baretta yang mempunyai lambang MCKK atau Kolej Melayu Kuala Kangsar. Lelaki tersebut mengangguk. Memang menjadi kebanggaan lepasan kolej MCKK mempamerkan diri mereka adalah lepasan kolej yang ternama itu.

Semasa makan, ketua kursus tersebut bertanya bermacam-macam soalan tentang MCKK, pekerjaannya dan sekali sekala memuji-muji lelaki tersebut. Tidak disentuh langsung tentang masalah anak lelaki tadi yang gagal dalam subjek yang diambil. Kemudian perbincangan mereka menyentuh tentang keinginan setiap ibubapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya seperti mereka. Ketua kursus tersebut menjamu lelaki tersebut dengan makan nasi beriani dan terus melayan lelaki tersebut yang semakin ghairah berbual.

Selepas beberapa lama berbual, ketua kursus tersebut bertanya, "Oh! lupa pula saya, tadi tuan cakap nak bincang dengan saya tentang masalah anak tuan, apa masalahnya? " Mungkin KK tersebut berlakon padahal dia dah mendapat maklumat dariku tentang masalah lelaki tersebut. "Tak ada apalah, ni anak saya ni, tak lulus satu paper, tak mau mengulang, minta saya tolong jumpa tuan. Budak-budak zaman sekarang macam nilah. Manja sangat". Jawab lelaki tersebut dengan lembut. Aku yang banyak mendiamkan diri yang duduk di meja sebelah agak terkejut. "Hai! tadi nampak sombong dan garang sangat, sekarang ni tak ada apa-apa pula?" bisikku dalam hati. "Mungkin dah kenyang dapat makan free" Aku terus berburuk sangka. Ketua kursus tersebut memberi alasan dan penerangan mengenai apa yang patut dilakukan dan masalah yang nak dibincangkan akhirnya selesai.

Selepas kejadian itu aku mula terfikir tentang betapa pentingnya menguasai kemahiran interpersonal seperti yang dimiliki oleh ketua kursus tadi. Dengan tidak terus membincangkan masalah yang dihadapi, membiarkan seseorang itu bercakap tentang diri mereka, memuji dan mengkagumi pencapaian mereka, menganggap masalah mereka juga masalah kita dan menjamu mereka makan, maka sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan mudah tanpa berakhir dengan perseteruan. Aku diperingkat awal, tidaklah berkonfrontasi dengan lelaki tersebut, tetapi mungkin tidak mahir dengan kemahiran interpersonal, maka jalan penyelesaian nampak sukar. Sebab itulah aku teringat dengan ungkapan, "HARIMAU YANG GARANG BOLEH DIJINAKKAN DENGAN SEKETUL DAGING" Namun begitu, tengok juga jenis harimau, ada harimau yang tak makan saman. Kena cuba kaedah lain.


 Teringat aku satu riwayat di mana pesan Nabi Muhammad S.A.W semasa berhijrah ke Madinah, ".......Sebarkanlah salam, sambung silaturahim dan beri manusia makan. " Cantiknya sunnah Nabi, kerana ada maksud dan falsafah tersirat dalam ilmu kemahiran interpersonal dan ketua kursus tersebut telah menguasainya.


Jumpa lagi.








LANGKAH BIJAK USAHAWAN TERBILANG

Assalamualaikum,

Saya ada membeli CD ceramah Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah mengenai Langkah Bijak Usahawan Terbilang. Tertarik dengan isi kandungan ceramah beliau, saya mencatit isi penting kandungan ceramah tersebut dan menyusun kembali secara bebas. Di bawah ini adalah isi-isi penting kandungan ceramahnya. Tabik dan Salam hormat kepada Yang Berbahagia Datuk MFK dan diharap beliau tidak keberatan untuk saya siarkan kembali isi ceramah beliau dalam laman blog saya.

                                   

LANGKAH BIJAK USAHAWAN TERBILANG
Petikan ceramah Dato. Mohd Fadzillah b. Kamsah. 


LANGKAH-LANGKAH UNTUK BERUBAH

Ø  Terima hakikat anda dan orang sekeliling anda ada masalah. Masalah mewujudkan peluang.
Ø  Mesti belajar. Jangan terus jahil.
Ø  Terima pandangan orang lain.
Ø  Amal ilmu yang di pelajari.

PETUA-PETUA USAHAWAN
1.        Fahami betul-betul maksud kejayaan dan matlamat yang ingin di capai.
2.        Perlu ada pengorbanan yang sewajarnya. Masa, tenaga, modal.
3.        Yakinkan diri dan disiplinkan diri.
4.        Susunkan pelan dan target harian, mingguan, bulanan, tahunan.
5.        Jangan mudah patah semangat jika gagal dapat klien.
6.        Pecahkan kitaran negatif. Ubah pendekatan jika mengalami kegagalan.
7.        Jangan takut buat kesilapan. Belajar dari setiap kesilapan.
8.        Jual diri dahulu sebelum jual produk. Jaga penampilan supaya orang yakin.
9.        Edarkan kad perniagaan.
10.     Jadikan semua pekerja, downline anda hebat macam anda.
11.     Dorong pekerja, downline, keluarga secara berterusan.
12.     Bercampurgaul dengan orang-orang yang telah berjaya.
13.     Pimpin orang lain melalui teladan. Bentuk jaringan persahabatan.
14.     Mempermudahkan urusan. Kurangkan karenah birokrasi.
15.     Mempermudahkan komunikasi.
16.     Beri layanan kepada pelanggan melebihi pengharapan.
17.     Sentiasa bercakap tentang produk dan perkhidmatan anda.
18.     Belajar dari pengalaman orang-orang yang berjaya.
19.     Perkemasakan sistem penyimpanan maklumat.
20.     Jangan memburukkan produk atau perkhidmatan orang lain.
21.     Buat pelaburan untuk menambah ilmu tentang perniagaan.
22.     Sedekahkan sebahagian keuntungan kepada yang memerlukan.
23.     Berterusan belajar dan mengajar perkara-perkara baru.
24.     Jadilah contoh dan model kepada barangan kita. Guna dan tunjukkan perubahan.
25.     Mesti bersatu hati dengan rakan niaga, pekerja, downline dsb.
26.     Dapatkan sokongan padu dari pasangan dan keluarga.
27.     Tidak cepat lupa diri. Sepatutnya semakin dekat dengan Allah.
28.     Ketaqwaan. Tidak terlibat dengan amalan menyalahi undang-undang.
29.     Uruskan masa dan diri dengan stress management. Jaga makan, bersenam, bercuti.
30.     Seimbangkan sikap di rumah dan dengan sikap terhadap pelanggan.

AMALAN-AMALAN MENGGAMIT REZEKI
1.        Patuh suruhan Allah dan banyak berdoa.
2.        Cari keberkatan dalam usaha. Sedekah dan bersyukur.
3.        Sentiasa berdoa untuk ibubapa.
4.        Soat sunat taubat, igtighfar selalu.
5.        Solat Israk, solat Dhuha setiap hari atau sekerap yang boleh.
6.        Baya ayat Seribu Dinar 3X selepas solat, masuk kedai atau keluar kedai.
7.        Banyakkan sedekah dengan ikhlas.
8.        Bantu orang dalam kesusahan.
9.        Beri  binatang makan. Tapi jangan bela binatang dalam sangkar.
10.     Sentiasa bersangka baik dan maafkan kesalahan orang.
11.     Tunaikan Haji dan Umrah.
12.     Bantu orang yang lemah, sakit.
13.     Sambung silatulrahim.
14.     Berkorban ke jalan Allah. Buat surau dsb.

Tuesday, October 11, 2011

BUAT KERJA TAPI TAK ADA ILMU, AKHIRNYA SENDIRI RUGI

                          

                                                                     


Assalamualaikum,

Sudah lama aku tidak mengemaskini blog ini. Kesibukan tugas seharian di pejabat, menguruskan keluarga serta berulang alik ke kampung melihat dan mengurus ibu yang telah uzur membataskan masa senggang untuk menulis dan terpaksalah mengutamakan perkara-perkara lain yang lebih penting. Sungguh beruntung orang-orang yang dapat menguruskan masa dengan baik dengan peruntukan masa 24 jam sehari yang diberikan pada setiap orang oleh Allah. Istilah tidak ada masa atau tidak cukup masa sepatutnya tidak wujud kerana semua orang diberi peruntukan masa yang sama iaitu 24 jam seorang. Tidak lebih dan tidak kurang. Adakah ada orang yang menerima peruntukan masa 26 jam sehari, atau ada yang menerima peruntukan masa cuma 18 jam sehari?

Ada orang ingin menjalankan perniagaan atau projek baru samada dengan tujuan memperolehi pendapatan atau sebagai pendapatan sampingan. Dengan sedikit pengetahuan dan maklumat yang ada, dengan penuh yakin mereka menjalankan perniagaan atau projek tersebut. Mereka tidak mengkaji dengan mendalam masalah-masalah dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi yang tidak terfikir di.peringkat awal. Akhirnya selapas beberapa lama perniagaan atau projek yang dijalankan terpaksa diberhentikan kerana kesilapan sendiri atau tidak mampu menempuh cabaran. Lebih memburukkan keadaan, mereka menanggung kerugian yang banyak dan terpaksa menanggung beban hutang.

Hal ini pernah berlaku kepada aku pada hujung 1990an. Pada masa itu aku bersama isteri berkongsi wang membeli sebidang tanah dan bercadang untuk membina rumah di atas tanah tersebut. Namun begitu kami perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk mengumpul duit  membina rumah dan membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank jika perlu. Jadi tanah itu akan terbiar kosong untuk tempoh yang lama. Memikirkan hal ini, kami bercadang untuk mengusahakan satu projek yang boleh menambah pendapatan. Apakah projek yang boleh kami jalankan? Kami pula kakitangan kerajaan yang hanya mempunyai masa hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu untuk balik ke kampung mengusahakan tanah tersebut.

Kemudian timbul idea untuk menanam pokok kunyit apabila melihat beberapa rumpun pokok kunyit yang ditanam oleh keluarga di belakang rumah di kampung. Kebetulan bapa mertua ku adalah seorang pengusaha kopi dan mempunyai mesin memproses kopi di belakang rumah. Bolehlah pinjam mesin kopinya sekejap untuk memproses pula kunyit untuk dijadikan serbuk kunyit. Maka projek penanaman kunyitpun bermula. Kami suami isteri bertungkus lumus membersihkan tanah dan menanam pokok-pokok kunyit. Kami lakukan pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja kerana hari-hari lain kami bekerja. Kami tidak ada pengetahuan langsung tentang teknik menanam dan penjagaan pokok kunyit. Kami hanya menggunakan prinsip BAJ (Buat Asal Jadi) dan teknik 3T(Tanam, Tinggal dan Tuai)

Alhamdulillah, pokok kunyit kami tumbuh subur selepas dibubuh baja di celah-celah pokok rumput yang turut tumbuh membesar kerana tak sempat nak merumput. Pokok-pokok kunyit dicabut untuk diambil ubinya. Kunyit-kunyit tersebut dibersihkan dan dihiris nipis-nipis dengan bantuan ahli keluarga yang lain. Hirisan kunyit-kunyit tersebut dijemur hingga kering menjadi kepingan-kepingan keras. Kemudian kunyit tersebut dimesin dengan menggunakan mesin kopi bapa mertua untuk dijadikan serbuk. Dengan menggunakan sukatan botol Nescafe kecil, serbuk kunyit tersebut kemudian dibungkus dan aku menjualnya kepada rakan-rakan di tempat kerjaku. Aku tidak perlu menunggu lama kerana dalam masa yang singkat sahaja serbuk kunyit ku habis dijual. Aku menggunakan formula S(T+P+J). "SENDIRI TANAM, SENDIRI PROSES DAN SENDIRI JUAL" Ramai yang memuji bahawa masakan atau gorengan mereka menjadi lebih sedap kerana menggunakan kunyit yang aku jual. Ini adalah kerana serbuk kunyit yang ada di pasaran semuanya telah dicampur dengan bahan lain seperti tepung beras atau tepung ubi. Kunyit yang aku jual 100 peratus asli. Maka aku jadilah sekejap usahawan baru, USAHAWAN KUNYIT, Sambil mengajar sambil berniaga.

Selepas semua pokok-pokok kunyit dicabut untuk diambil ubinya, maka aku merancang untuk menanam semula pokok kunyit yang baru. Semangatku berkobar-kobar kerana projekku berjaya. Semasa pokok-pokok kunyitku yang ku tanam semula sedang membesar, seorang rakan yang menternak kambing telah menawarkan kepadaku najis ternakan kambingnya di bawah bangsal untuk dijadikan baja. Maka aku yang menyangka bahawa tahi  kambing adalah baja yang amat baik untuk pokok kunyit telah mengaut tahi kambing tersebut dengan banyaknya di bawah bangsal kambing. Aku membawa tahi kambing tersebut ke tempat tanaman kunyit dan membubuh tahi kambing tersebut dis etiap perdu pokok kunyit dengan kuantiti yang banyak. Maklumlah baja free. Terbayang di fikiranku betapa suburnya pokok kunyitku selepas dibubuh baja tahi kambing.

Seperti biasa setiap minggu aku sekeluarga akan pulang ke kampung yang jaraknya kira-kira 50km dari rumahku yang aku beli berhampiran tempat kerja. Di samping melihat projek tanaman kunyit, kami pulang untuk menjenguk ibu bapa kami di kampung dan akan bermalam di sana. Maka pada suatu pagi, maka akupun pergi menjenguk projek tanaman kunyitku yang letaknya kira-kira 3 km dari rumah mertuaku. Aku amat terkejut melihat semua pokok-pokok  kunyitku yang tingginya kira-kira 1 kaki telah layu dan mati. "Siapakah yang telah meracun pokok kunyitku?" Tiada lagi keceriaan menjadi usahawan kunyit. Aku tidak menyangka sama sekali ada orang mengkhianatiku. Terbayang ungkapan PHD (Perangai Hasad Dengki).

Tidak lama kemudian, datanglah bapa mertuaku untuk turut sama melihat projek tanaman kunyitku. Diapun turut terkejut melihat pokok-pokok kunyit ku yang mati dan layu. Sambil membelek pokok kunyit yang mati, tiba-tiba dia berkata, "La!! awat pokok kunyit tak mati, bubuh baja taik kambing macam bukit. Baja taik kambing panas. matilah pokok" Sesungguhnya aku tidak mengetahui bahawa tahi kambing yang basah boleh menyebabkan anak pokok akan mati kerana kepanasannya. Aku tidak tahu bahawa tahi kambing perlu dibakar terlebih dahulu atau diproses sebelum boleh dijadikan baja. Yang aku tahu aku dapat baja percuma.Itulah akibatnya buat kerja tanpa ilmu. Bayangkanlah apa terjadi jika projek tersebut melibatkan pelaburan beratus ribu. Nasib baiklah projekku itu tidak sampai 1 ekar. Selepas kejadian itu semangatku untuk menjadi usahawan kunyit terus berkubur. Aku hampir berburuk sangka pada seseorang, bahawa dialah yang meracun pokok kunyitku.

Kini aku tidak lagi mengajar. Tanah yang kubeli untuk dijadikan tapak rumah itu telahku jual. Walaupun masih di bawah agensi kerajaan yang sama,  aku bekerja di bahagian lain di daerah yang membantu usahawan-usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan. Pengalamanku selama 16 tahun mengajar subjek Perdagangan, Perakaunan dan Keusahawanan kugunakan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasku sekarang. Aku sering dijemput menyampaikan ceramah kepada usahawan-usahawan dan bakal-bakal usahawan dalam pelbagai kursus yang dianjurkan oleh majikanku atau oleh  agensi kerajaan yang lain. Setiap kali berceramah aku sering tidak lupa menceritakan kisah usahawan kunyit ini. Setiap usahawan atau bakal usahawan perlu membuat persediaan yang rapi, menguasai ilmu pengetahuan dan maklumat, mempunyai sikap yang betul, meramalkan risiko dan masalah, belajar dari orang-orang yang berjaya di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Tidak boleh lagi mengamalkan BAJ (Buat Asal Jadi). Namun sebagai anak petani aku tidak boleh melupakan kesukaran hidupku semasa kecil. Kehilangan ayah pada usia muda, mencari ikan di bendang untuk dijadikan lauk, mengetam padi,membantu ibu menjual kuih dan sebagainya. Aku membeli tanah kebun getah bersama isteri. Dan setiap hujung minggu juga aku akan bersama isteri, akan  pulang ke kampung, menjaga pokok-pokok getah yang sedang membesar. Menjadi pekebun kecil getah dengan mendapat sedikit bantuan Risda., pada masa yang sama menjadi pegawai kerajaan, yang berkira-kira untuk memilih 'option' untuk bersara pada usia 60.  Itupun kalau masih kuat dan sihat. 



HIDUP INI TELAH DITENTUKAN TEMPOHNYA, DAN SEBELUM 'PERGI', TINGGALLAH SESUATU UNTUK DIKENANG.

Monday, March 7, 2011

KENAPA SESETENGAH SYARIKAT TAK MENGIKLANKAN JAWATAN KOSONG?

KENAPA SESETENGAH SYARIKAT TIDAK MENGIKLANKAN JAWATAN KOSONG DI AKHBAR?

Walaupun Aiman mengeluarkan iklan jawatan kosong, dia mengambil Zaid bekerja melalui seorang kawan. Iklan Aiman tidak berfungsi kerana yang diminta adalah pengalaman kerja berkaitan dan kebolehan menjual. Jawatan tersebut sebenarnya memerlukan seseorang yang berperwatakan menarik, peramah, kesediaan untuk belajar dan kesetiaan. Jadi, kenapa Aiman tidak meletakkan semua kriteria tersebut dalam iklannya?

Bolehkah anda bayangkan bahawa semua orang di Malaysia ini berfikir bahawa mereka memiliki semua syarat yang diperlukan? Kalau begini keadaannya, meja Aiman akan penuh dengan surat permohonan.

Ini mungkin kelihatan seperti masalah yang bodoh, tetapi itulah keadaanya yang dihadapi oleh majikan. Mereka tidak boleh meminta criteria  yang benar-benar mereka mahu kerana ia mustahil untuk diukur. Anda tidak mungkin memperolehi ijazah dalam bidang keramahan atau penyelesaiaan masalah.

Ada satu sebab kenapa lebih dari 80% jawatan kosong tidak diiklankan iaitu majikan sedar bahawa mereka tidak mungkin mendapatkan pekerja yang benar-benar mereka inginkan.

Di sini ada beberapa alasan lain kenapa banyak syarikat tidak mengiklankan jawatan kosong di akhbar:

Terlalu mahal – Kadar harga iklan jawatan kosong di akhbar mungkin mencecah RM 500 seminggu.

Memakan masa – Bila iklan dibuat, ia perlu melalui beberapa tindakan lain : memilih resume, menemuduga calon, menghubungi referee dan sebagainya. Ia mungkin mengambil masa berbulan lamanya sehingga pekerja dapat diambil.

Kakitangan penemuduga terpaksa disediakan – Proses menemuduga calon dan menghubungi referee memerlukan pegawai-pegawai khusus dan masa mereka terikat.

Berisiko tinggi – Walaupun proses temuduga dan rujukan referee telah dibuat, majikan sebenarnya mengambil orang  yang tidak dikenali untuk bekerja. Orang seperti itu kemudian diberi kepercayaan memegang kunci mesin daftar tunai atau kunci van syarikat.

Terlalu rahsiaAda syarikat mahu merahsiakan pengambilan pekerja baru dari pengetahuan pesaing , kakitangan yang lain atau pemiutang mereka.

Kerja belum wujudAda jawatan kosong tidak diiklankan kerana ia benar-benar belum wujud. Seorang penyelia mungkin sibuk dengan tugas lain sehingga tiada masa untuk mengeluarkan iklan. Mereka mungkin hanya meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan pekerja baru apabila diperlukan.

Masih terlalu awal – Iklan tidak dikeluarkan kerana jawatan tersebut masih belum sedia untuk diisi. Majikan sudah tahu dan sudah membuat keputusan siapa calon yang akan diambil bekerja sebelum sesuatu iklan dikeluarkan.

Mungkin banyak lagi alasan mengapa syarikat tidak mengiklankan jawatan kosong. Fikirkan sendiri. Dengan beberapa pengecualian, ada majikan wajib mengiklankan jawatan kosong yang wujud seperti agensi dan jabatan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau syarikat-syarikat besar. Ada juga syarikat yang telah menetapkan polisi bahawa setiap jawatan kosong mesti diiklankan.


Ingatlah, majikan sebenarnya kalau boleh ingin mengambil pekerja tanpa melalui iklan yang tidak pasti hasilnya. Seperti anda juga,  mereka ingin membuat keputusan yang paling baik  dengan sedikit keraguan.

Wednesday, January 26, 2011

Kerja kosong!!! Kerja kosong!!!! Aduh!!!! susahnya nak dapat kerja!!!

APAKAH MAKSUD PELUANG PEKERJAAN TERSEMBUNYI?
ADAKAH IA BENAR-BENAR WUJUD?

           Gambar hiasan - Penulis semasa menjadi ahli panel temuduga berkumpulan PTK Kumpulan Sokongan

Sebelum anda mencari jawatan kosong yang tersembunyi, anda mestilah percaya bahawa ia memang benar-benar wujud. Tetapi jika anda mencarinya tidak sepenuh hati, hasil yang anda perolehi tentu akan mengecewakan anda.

Bertanyalah diri anda samada anda telah mengalami situasi berikut ;

  • Ada orang memberitahu anda sesuatu jawatan kosong sebelum ia diiklankan.
  • Anda memberitahu orang lain tentang sesuatu jawatan kosong yang tidak diiklankan.
  • Syarikat telah mewujudkan atau menyesuaikan sesuatu jawatan untuk memenuhi kemahiran dan personaliti anda.
  • Anda atau kenalan anda telah diambil bekerja kerana kenal orang dalam.
  • Orang lain terfikir untuk mengambil anda bekerja jika sesuatu jawatan kosong ingin diisi.

Jawatan kosong tersembunyi  adalah berdasarkan kepada perhubungan dengan orang lain. Anda mungkin pernah mendengar ungkapan

APA YANG ANDA TAHU TIDAK PENTING, SIAPA YANG ANDA TAHU ITULAH LEBIH PENTING.

Ini adalah kenyataan, tetapi adakah ia adil? Jawapannya adalah ya. Fikirkanlah: Adalah mustahil untuk mengetahui semua perkara mengenai sesuatu pekerjaan. Tambahan pula tidak semua orang sanggup untuk menghabiskan masa dan wang untuk memperolehi latihan baru.

Kita semua boleh mendapatkan kawan. Kita akan mendapat banyak faedah darinya samada mereka miskin atau kaya, tua atau muda, berjaya atau tidak berjaya. Kita boleh belajar untuk bertemu dengan semua orang dan mendapatkan pertolongan bila perlu.

Masih tidak yakin? Cuba fikirkan kisah ini.

Aiman adalah penyelia kilang  membuat perabot. Dia mahu  menggaji seorang pembantu untuk menolong pelanggan dan membuat jualan. Beliau mengiklankan jawatan kosong tersebut di akhbar dan menyatakan pengalaman dalam bidang jualan dan penjagaan permaidani sebagai syarat permohonan. Seramai 80 orang telah menghantar permohonan, tetapi hanya 4 dari 5 pemohon memenuhi syarat yang diminta. Selepas menemuduga mereka, Aiman berminat untuk mengambil Ihsan ke jawatan tersebut kerana dialah yang paling layak. Namun perawakan Ihsan tidak menarik dan dan Aiman bimbang jika dia mempamerkan sikap negatif terhadap pelanggan. Jadi Aiman bercadang untuk menangguhkan sementara pemilihan untuk jawatan tersebut.

Sementara itu, Aida, kawan baik Aiman telah memperkenalkan Aiman dengan seorang kenalan Aida iaitu Zaid yang pernah bekerja di kilang roti. Zaid memang tidak mahir tentang permaidani tetapi dia berperawakan menarik dan mudah mesra. Selepas berbual dengan Zaid, Aiman percaya bahawa Zaid boleh dilatih dalam selok belok permaidani. Aiman sedar walaupun Ihsan mempunyai kelayakan, tetapi dia tidak sesuai untuk jawatan tersebut. Aiman telah menawarkan jawatan tersebut kepada Zaid walaupun Zaid tidak pernah membuat permohonan untuk jawatan tersebut. Sesungguhnya, jika Zaid membuat permohonan, dia tentu tidak dipertimbangkan untuk temuduga kerana tidak mempunyai kelayakan yang diperlukan.

Aiman bernasib baik dipertemukan dengan Zaid dan Zaid  pula terkejut kerana ditawarkan pekerjaan tersebut. Zaid telah menggunakan kemahiran interpersonal manakala Ihsan masih terus memohon jawatan kosong menerusi iklan.


Bersambung........