Monday, January 30, 2012

HARIMAU YANG GARANG BOLEH DIJINAKKAN DENGAN SEKETUL DAGING


Apabila aku melihat gambar harimau, aku teringat kisah seorang bapa yang angkuh dan meninggi diri yang datang menemuiku semasa aku mengajar di sebuah institusi kemahiran. Pada masa itu aku adalah Setiausaha Peperiksaan institusi tersebut. Jawatan itu aku pegang enam tahun lamanya. Tugas utamaku membantu jawatankuasa peperiksaan membuat perancangan ujian dan menguruskan peperiksaan meliputi penyusunan jadual, melantik pengawas bertugas, mencetak kertas soalan sehinggalah kepada urusan keputusan peperiksaan dikeluarkan kepada pelatih.

Pada suatu hari seorang bapa datang menemuiku untuk bertanyakan keputusan peperiksaan akhir tahun anaknya. Oleh kerana urusan tersebut berkaitan dengan peperiksaan, maka petugas kaunter pejabat akan meminta bapa berkenaan untuk datang membincangkan masalah tersebut denganku. Lelaki tersebut berpakaian seluar jeans, bercermin mata agak gelap dan memakai topi Baretta. Gaya jalannya nampak macam orang berada atau orang hebatlah katakan. Anaknya gagal dalam satu subjek dan ini menyebabkan anaknya akan terpaksa mengulang sekali lagi dan terlepas peluang untuk menghadiri Majlis Konvokesyen institut yang akan diadakan selepas itu.

Lelaki tersebut mempersoalkan kenapa anaknya boleh gagal dalam subjek tersebut seolah-olah pemeriksa kertas jawapan sengaja menggagalkan anaknya. Dia memaksa supaya keputusan peperiksaan anaknya disemak semula untuk membolehkan anaknya tamat pengajian dan menghadiri majlis konvokesyen. sebagaimana biasa aku akan memberi jawapan-jawapan kenapa seseorang pelajar boleh gagal dalam sesuatu subjek. Antaranya mungkin tidak dapat menjawab soalan dengan baik, tidak memenuhi kehendak soalan dan mencadangkan pelajar tersebut mengulang kertas yang dia gagal. Lelaki tersebut tidak berpuashati dan dengan sombongnya memberitahu bahawa dia akan menelefon Ketua Pengarah di ibu pejabat dan mendakwa bahawa KP tersebut adalah kawan baiknya.

Buntu bila  berhadapan dengan kerenah lelaki tersebut, aku menghubungi ketua kursus pelatih berkenaan supaya menyelesaikan masalah tersebut. Kuterangkan sedikit sebanyak keadaan lelaki tersebut yang sedang marah-marah. Kemudian aku membawa lelaki tersebut berjumpa ketua kursus. Kebetulan ketua kursus tersebut sedang menuju ke kantin dan mengajak kami berdua untuk bersarapan di kantin. Selepas bersalaman, ketua kursus tersebut bertanya soalan, "You ni bekas pelajar MCKK ke?" Ini adalah kerana lelaki berkenaan memakai topi Baretta yang mempunyai lambang MCKK atau Kolej Melayu Kuala Kangsar. Lelaki tersebut mengangguk. Memang menjadi kebanggaan lepasan kolej MCKK mempamerkan diri mereka adalah lepasan kolej yang ternama itu.

Semasa makan, ketua kursus tersebut bertanya bermacam-macam soalan tentang MCKK, pekerjaannya dan sekali sekala memuji-muji lelaki tersebut. Tidak disentuh langsung tentang masalah anak lelaki tadi yang gagal dalam subjek yang diambil. Kemudian perbincangan mereka menyentuh tentang keinginan setiap ibubapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya seperti mereka. Ketua kursus tersebut menjamu lelaki tersebut dengan makan nasi beriani dan terus melayan lelaki tersebut yang semakin ghairah berbual.

Selepas beberapa lama berbual, ketua kursus tersebut bertanya, "Oh! lupa pula saya, tadi tuan cakap nak bincang dengan saya tentang masalah anak tuan, apa masalahnya? " Mungkin KK tersebut berlakon padahal dia dah mendapat maklumat dariku tentang masalah lelaki tersebut. "Tak ada apalah, ni anak saya ni, tak lulus satu paper, tak mau mengulang, minta saya tolong jumpa tuan. Budak-budak zaman sekarang macam nilah. Manja sangat". Jawab lelaki tersebut dengan lembut. Aku yang banyak mendiamkan diri yang duduk di meja sebelah agak terkejut. "Hai! tadi nampak sombong dan garang sangat, sekarang ni tak ada apa-apa pula?" bisikku dalam hati. "Mungkin dah kenyang dapat makan free" Aku terus berburuk sangka. Ketua kursus tersebut memberi alasan dan penerangan mengenai apa yang patut dilakukan dan masalah yang nak dibincangkan akhirnya selesai.

Selepas kejadian itu aku mula terfikir tentang betapa pentingnya menguasai kemahiran interpersonal seperti yang dimiliki oleh ketua kursus tadi. Dengan tidak terus membincangkan masalah yang dihadapi, membiarkan seseorang itu bercakap tentang diri mereka, memuji dan mengkagumi pencapaian mereka, menganggap masalah mereka juga masalah kita dan menjamu mereka makan, maka sesuatu masalah boleh diselesaikan dengan mudah tanpa berakhir dengan perseteruan. Aku diperingkat awal, tidaklah berkonfrontasi dengan lelaki tersebut, tetapi mungkin tidak mahir dengan kemahiran interpersonal, maka jalan penyelesaian nampak sukar. Sebab itulah aku teringat dengan ungkapan, "HARIMAU YANG GARANG BOLEH DIJINAKKAN DENGAN SEKETUL DAGING" Namun begitu, tengok juga jenis harimau, ada harimau yang tak makan saman. Kena cuba kaedah lain.


 Teringat aku satu riwayat di mana pesan Nabi Muhammad S.A.W semasa berhijrah ke Madinah, ".......Sebarkanlah salam, sambung silaturahim dan beri manusia makan. " Cantiknya sunnah Nabi, kerana ada maksud dan falsafah tersirat dalam ilmu kemahiran interpersonal dan ketua kursus tersebut telah menguasainya.


Jumpa lagi.








No comments:

Post a Comment