Tuesday, October 11, 2011

BUAT KERJA TAPI TAK ADA ILMU, AKHIRNYA SENDIRI RUGI

                          

                                                                     


Assalamualaikum,

Sudah lama aku tidak mengemaskini blog ini. Kesibukan tugas seharian di pejabat, menguruskan keluarga serta berulang alik ke kampung melihat dan mengurus ibu yang telah uzur membataskan masa senggang untuk menulis dan terpaksalah mengutamakan perkara-perkara lain yang lebih penting. Sungguh beruntung orang-orang yang dapat menguruskan masa dengan baik dengan peruntukan masa 24 jam sehari yang diberikan pada setiap orang oleh Allah. Istilah tidak ada masa atau tidak cukup masa sepatutnya tidak wujud kerana semua orang diberi peruntukan masa yang sama iaitu 24 jam seorang. Tidak lebih dan tidak kurang. Adakah ada orang yang menerima peruntukan masa 26 jam sehari, atau ada yang menerima peruntukan masa cuma 18 jam sehari?

Ada orang ingin menjalankan perniagaan atau projek baru samada dengan tujuan memperolehi pendapatan atau sebagai pendapatan sampingan. Dengan sedikit pengetahuan dan maklumat yang ada, dengan penuh yakin mereka menjalankan perniagaan atau projek tersebut. Mereka tidak mengkaji dengan mendalam masalah-masalah dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi yang tidak terfikir di.peringkat awal. Akhirnya selapas beberapa lama perniagaan atau projek yang dijalankan terpaksa diberhentikan kerana kesilapan sendiri atau tidak mampu menempuh cabaran. Lebih memburukkan keadaan, mereka menanggung kerugian yang banyak dan terpaksa menanggung beban hutang.

Hal ini pernah berlaku kepada aku pada hujung 1990an. Pada masa itu aku bersama isteri berkongsi wang membeli sebidang tanah dan bercadang untuk membina rumah di atas tanah tersebut. Namun begitu kami perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk mengumpul duit  membina rumah dan membuat pinjaman peribadi di mana-mana bank jika perlu. Jadi tanah itu akan terbiar kosong untuk tempoh yang lama. Memikirkan hal ini, kami bercadang untuk mengusahakan satu projek yang boleh menambah pendapatan. Apakah projek yang boleh kami jalankan? Kami pula kakitangan kerajaan yang hanya mempunyai masa hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu untuk balik ke kampung mengusahakan tanah tersebut.

Kemudian timbul idea untuk menanam pokok kunyit apabila melihat beberapa rumpun pokok kunyit yang ditanam oleh keluarga di belakang rumah di kampung. Kebetulan bapa mertua ku adalah seorang pengusaha kopi dan mempunyai mesin memproses kopi di belakang rumah. Bolehlah pinjam mesin kopinya sekejap untuk memproses pula kunyit untuk dijadikan serbuk kunyit. Maka projek penanaman kunyitpun bermula. Kami suami isteri bertungkus lumus membersihkan tanah dan menanam pokok-pokok kunyit. Kami lakukan pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja kerana hari-hari lain kami bekerja. Kami tidak ada pengetahuan langsung tentang teknik menanam dan penjagaan pokok kunyit. Kami hanya menggunakan prinsip BAJ (Buat Asal Jadi) dan teknik 3T(Tanam, Tinggal dan Tuai)

Alhamdulillah, pokok kunyit kami tumbuh subur selepas dibubuh baja di celah-celah pokok rumput yang turut tumbuh membesar kerana tak sempat nak merumput. Pokok-pokok kunyit dicabut untuk diambil ubinya. Kunyit-kunyit tersebut dibersihkan dan dihiris nipis-nipis dengan bantuan ahli keluarga yang lain. Hirisan kunyit-kunyit tersebut dijemur hingga kering menjadi kepingan-kepingan keras. Kemudian kunyit tersebut dimesin dengan menggunakan mesin kopi bapa mertua untuk dijadikan serbuk. Dengan menggunakan sukatan botol Nescafe kecil, serbuk kunyit tersebut kemudian dibungkus dan aku menjualnya kepada rakan-rakan di tempat kerjaku. Aku tidak perlu menunggu lama kerana dalam masa yang singkat sahaja serbuk kunyit ku habis dijual. Aku menggunakan formula S(T+P+J). "SENDIRI TANAM, SENDIRI PROSES DAN SENDIRI JUAL" Ramai yang memuji bahawa masakan atau gorengan mereka menjadi lebih sedap kerana menggunakan kunyit yang aku jual. Ini adalah kerana serbuk kunyit yang ada di pasaran semuanya telah dicampur dengan bahan lain seperti tepung beras atau tepung ubi. Kunyit yang aku jual 100 peratus asli. Maka aku jadilah sekejap usahawan baru, USAHAWAN KUNYIT, Sambil mengajar sambil berniaga.

Selepas semua pokok-pokok kunyit dicabut untuk diambil ubinya, maka aku merancang untuk menanam semula pokok kunyit yang baru. Semangatku berkobar-kobar kerana projekku berjaya. Semasa pokok-pokok kunyitku yang ku tanam semula sedang membesar, seorang rakan yang menternak kambing telah menawarkan kepadaku najis ternakan kambingnya di bawah bangsal untuk dijadikan baja. Maka aku yang menyangka bahawa tahi  kambing adalah baja yang amat baik untuk pokok kunyit telah mengaut tahi kambing tersebut dengan banyaknya di bawah bangsal kambing. Aku membawa tahi kambing tersebut ke tempat tanaman kunyit dan membubuh tahi kambing tersebut dis etiap perdu pokok kunyit dengan kuantiti yang banyak. Maklumlah baja free. Terbayang di fikiranku betapa suburnya pokok kunyitku selepas dibubuh baja tahi kambing.

Seperti biasa setiap minggu aku sekeluarga akan pulang ke kampung yang jaraknya kira-kira 50km dari rumahku yang aku beli berhampiran tempat kerja. Di samping melihat projek tanaman kunyit, kami pulang untuk menjenguk ibu bapa kami di kampung dan akan bermalam di sana. Maka pada suatu pagi, maka akupun pergi menjenguk projek tanaman kunyitku yang letaknya kira-kira 3 km dari rumah mertuaku. Aku amat terkejut melihat semua pokok-pokok  kunyitku yang tingginya kira-kira 1 kaki telah layu dan mati. "Siapakah yang telah meracun pokok kunyitku?" Tiada lagi keceriaan menjadi usahawan kunyit. Aku tidak menyangka sama sekali ada orang mengkhianatiku. Terbayang ungkapan PHD (Perangai Hasad Dengki).

Tidak lama kemudian, datanglah bapa mertuaku untuk turut sama melihat projek tanaman kunyitku. Diapun turut terkejut melihat pokok-pokok kunyit ku yang mati dan layu. Sambil membelek pokok kunyit yang mati, tiba-tiba dia berkata, "La!! awat pokok kunyit tak mati, bubuh baja taik kambing macam bukit. Baja taik kambing panas. matilah pokok" Sesungguhnya aku tidak mengetahui bahawa tahi kambing yang basah boleh menyebabkan anak pokok akan mati kerana kepanasannya. Aku tidak tahu bahawa tahi kambing perlu dibakar terlebih dahulu atau diproses sebelum boleh dijadikan baja. Yang aku tahu aku dapat baja percuma.Itulah akibatnya buat kerja tanpa ilmu. Bayangkanlah apa terjadi jika projek tersebut melibatkan pelaburan beratus ribu. Nasib baiklah projekku itu tidak sampai 1 ekar. Selepas kejadian itu semangatku untuk menjadi usahawan kunyit terus berkubur. Aku hampir berburuk sangka pada seseorang, bahawa dialah yang meracun pokok kunyitku.

Kini aku tidak lagi mengajar. Tanah yang kubeli untuk dijadikan tapak rumah itu telahku jual. Walaupun masih di bawah agensi kerajaan yang sama,  aku bekerja di bahagian lain di daerah yang membantu usahawan-usahawan Bumiputera dalam bidang perniagaan. Pengalamanku selama 16 tahun mengajar subjek Perdagangan, Perakaunan dan Keusahawanan kugunakan sepenuhnya dalam melaksanakan tugasku sekarang. Aku sering dijemput menyampaikan ceramah kepada usahawan-usahawan dan bakal-bakal usahawan dalam pelbagai kursus yang dianjurkan oleh majikanku atau oleh  agensi kerajaan yang lain. Setiap kali berceramah aku sering tidak lupa menceritakan kisah usahawan kunyit ini. Setiap usahawan atau bakal usahawan perlu membuat persediaan yang rapi, menguasai ilmu pengetahuan dan maklumat, mempunyai sikap yang betul, meramalkan risiko dan masalah, belajar dari orang-orang yang berjaya di samping berdoa dan bertawakkal kepada Allah. Tidak boleh lagi mengamalkan BAJ (Buat Asal Jadi). Namun sebagai anak petani aku tidak boleh melupakan kesukaran hidupku semasa kecil. Kehilangan ayah pada usia muda, mencari ikan di bendang untuk dijadikan lauk, mengetam padi,membantu ibu menjual kuih dan sebagainya. Aku membeli tanah kebun getah bersama isteri. Dan setiap hujung minggu juga aku akan bersama isteri, akan  pulang ke kampung, menjaga pokok-pokok getah yang sedang membesar. Menjadi pekebun kecil getah dengan mendapat sedikit bantuan Risda., pada masa yang sama menjadi pegawai kerajaan, yang berkira-kira untuk memilih 'option' untuk bersara pada usia 60.  Itupun kalau masih kuat dan sihat. 



HIDUP INI TELAH DITENTUKAN TEMPOHNYA, DAN SEBELUM 'PERGI', TINGGALLAH SESUATU UNTUK DIKENANG.