Wednesday, January 5, 2011

Saya tengok boss kecil saja!!!!

Seorang ketua jabatan bersama beberapa pegawainya menaiki sebuah van jabatan untuk menghadiri satu majlis yang diresmikan  oleh seorang menteri. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai. Ketua jabatan tersebut memang amat dikenali di negerinya.Beliau juga dilihat  sebagai ketua yang tegas oleh kakitangannya. Dalam perjalanan tiba-tiba van bergoyang-goyang dan pemandu terpaksa menghentikan van tersebut di tepi jalan di kaki sebuah bukit. Semua penumpang turun untuk memeriksa apa yang berlaku. Rupa-rupanya salah satu tayar kempis. Tayar yang kempis tersebut hampir botak.

Ketua jabatan tersebut dengan nada kesal memarahi pemandu kerana tidak memeriksa tayar terlebih dahulu. Dia berfikir mungkin terlepas peluang dia untuk duduk di atas pentas di belakang menteri atau bersalam dengan menteri. Dia terus merungut sambil melihat pemandu dan pegawainya menukar tayar gantian. Sementara menunggu tayar gantian siap dipasang, beliau mendaki bukit berhampiran untuk melihat pemandangan yang indah disekeliling. Selepas tayar siap dipasang, dia dipanggil turun oleh pegawainya untuk meneruskan perjalanan.

"Wah!! kuat juga tuan panjat bukit tadi, apa yang tuan nampak?, Tanya seorang pegawai untuk menyejukkan kembali suasana. "Tengok kakila. Masa berdiri di atas tadi, aku nampak hang pa di bawah kecil-kecil saja" Jawabnya bangga sambil menyindir. Perasaan tidak puas hatinya masih belum hilang. Dia mungkin sudah terlewat untuk berada di atas pentas bersama menteri."Hah! Hang pa nampak aku tak masa aku duduk kat atas tadi? Tanya ketua jabatan itu kembali kepada salah seorang pegawainya. Pegawai tersebut yang agak berumur berbanding pegawai yang lain dengan selamba menjawab, "Masa tuan berada di atas tadi, kami pun nampak tuan kecil saja, macam semut, rasa nak sembur dengan Ridsect" Ketua jabatan tersebut terdiam dan rasa terpukul dengan jawapan tersebut. Dia tidak menyangka pegawai tersebut akan memberi jawapan sedemikian.

Apakah mesej yang anda dapat dari cerita ini?

No comments:

Post a Comment