Monday, March 7, 2011

KENAPA SESETENGAH SYARIKAT TAK MENGIKLANKAN JAWATAN KOSONG?

KENAPA SESETENGAH SYARIKAT TIDAK MENGIKLANKAN JAWATAN KOSONG DI AKHBAR?

Walaupun Aiman mengeluarkan iklan jawatan kosong, dia mengambil Zaid bekerja melalui seorang kawan. Iklan Aiman tidak berfungsi kerana yang diminta adalah pengalaman kerja berkaitan dan kebolehan menjual. Jawatan tersebut sebenarnya memerlukan seseorang yang berperwatakan menarik, peramah, kesediaan untuk belajar dan kesetiaan. Jadi, kenapa Aiman tidak meletakkan semua kriteria tersebut dalam iklannya?

Bolehkah anda bayangkan bahawa semua orang di Malaysia ini berfikir bahawa mereka memiliki semua syarat yang diperlukan? Kalau begini keadaannya, meja Aiman akan penuh dengan surat permohonan.

Ini mungkin kelihatan seperti masalah yang bodoh, tetapi itulah keadaanya yang dihadapi oleh majikan. Mereka tidak boleh meminta criteria  yang benar-benar mereka mahu kerana ia mustahil untuk diukur. Anda tidak mungkin memperolehi ijazah dalam bidang keramahan atau penyelesaiaan masalah.

Ada satu sebab kenapa lebih dari 80% jawatan kosong tidak diiklankan iaitu majikan sedar bahawa mereka tidak mungkin mendapatkan pekerja yang benar-benar mereka inginkan.

Di sini ada beberapa alasan lain kenapa banyak syarikat tidak mengiklankan jawatan kosong di akhbar:

Terlalu mahal – Kadar harga iklan jawatan kosong di akhbar mungkin mencecah RM 500 seminggu.

Memakan masa – Bila iklan dibuat, ia perlu melalui beberapa tindakan lain : memilih resume, menemuduga calon, menghubungi referee dan sebagainya. Ia mungkin mengambil masa berbulan lamanya sehingga pekerja dapat diambil.

Kakitangan penemuduga terpaksa disediakan – Proses menemuduga calon dan menghubungi referee memerlukan pegawai-pegawai khusus dan masa mereka terikat.

Berisiko tinggi – Walaupun proses temuduga dan rujukan referee telah dibuat, majikan sebenarnya mengambil orang  yang tidak dikenali untuk bekerja. Orang seperti itu kemudian diberi kepercayaan memegang kunci mesin daftar tunai atau kunci van syarikat.

Terlalu rahsiaAda syarikat mahu merahsiakan pengambilan pekerja baru dari pengetahuan pesaing , kakitangan yang lain atau pemiutang mereka.

Kerja belum wujudAda jawatan kosong tidak diiklankan kerana ia benar-benar belum wujud. Seorang penyelia mungkin sibuk dengan tugas lain sehingga tiada masa untuk mengeluarkan iklan. Mereka mungkin hanya meminta bantuan seseorang untuk mendapatkan pekerja baru apabila diperlukan.

Masih terlalu awal – Iklan tidak dikeluarkan kerana jawatan tersebut masih belum sedia untuk diisi. Majikan sudah tahu dan sudah membuat keputusan siapa calon yang akan diambil bekerja sebelum sesuatu iklan dikeluarkan.

Mungkin banyak lagi alasan mengapa syarikat tidak mengiklankan jawatan kosong. Fikirkan sendiri. Dengan beberapa pengecualian, ada majikan wajib mengiklankan jawatan kosong yang wujud seperti agensi dan jabatan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau syarikat-syarikat besar. Ada juga syarikat yang telah menetapkan polisi bahawa setiap jawatan kosong mesti diiklankan.


Ingatlah, majikan sebenarnya kalau boleh ingin mengambil pekerja tanpa melalui iklan yang tidak pasti hasilnya. Seperti anda juga,  mereka ingin membuat keputusan yang paling baik  dengan sedikit keraguan.

Wednesday, January 26, 2011

Kerja kosong!!! Kerja kosong!!!! Aduh!!!! susahnya nak dapat kerja!!!

APAKAH MAKSUD PELUANG PEKERJAAN TERSEMBUNYI?
ADAKAH IA BENAR-BENAR WUJUD?

           Gambar hiasan - Penulis semasa menjadi ahli panel temuduga berkumpulan PTK Kumpulan Sokongan

Sebelum anda mencari jawatan kosong yang tersembunyi, anda mestilah percaya bahawa ia memang benar-benar wujud. Tetapi jika anda mencarinya tidak sepenuh hati, hasil yang anda perolehi tentu akan mengecewakan anda.

Bertanyalah diri anda samada anda telah mengalami situasi berikut ;

  • Ada orang memberitahu anda sesuatu jawatan kosong sebelum ia diiklankan.
  • Anda memberitahu orang lain tentang sesuatu jawatan kosong yang tidak diiklankan.
  • Syarikat telah mewujudkan atau menyesuaikan sesuatu jawatan untuk memenuhi kemahiran dan personaliti anda.
  • Anda atau kenalan anda telah diambil bekerja kerana kenal orang dalam.
  • Orang lain terfikir untuk mengambil anda bekerja jika sesuatu jawatan kosong ingin diisi.

Jawatan kosong tersembunyi  adalah berdasarkan kepada perhubungan dengan orang lain. Anda mungkin pernah mendengar ungkapan

APA YANG ANDA TAHU TIDAK PENTING, SIAPA YANG ANDA TAHU ITULAH LEBIH PENTING.

Ini adalah kenyataan, tetapi adakah ia adil? Jawapannya adalah ya. Fikirkanlah: Adalah mustahil untuk mengetahui semua perkara mengenai sesuatu pekerjaan. Tambahan pula tidak semua orang sanggup untuk menghabiskan masa dan wang untuk memperolehi latihan baru.

Kita semua boleh mendapatkan kawan. Kita akan mendapat banyak faedah darinya samada mereka miskin atau kaya, tua atau muda, berjaya atau tidak berjaya. Kita boleh belajar untuk bertemu dengan semua orang dan mendapatkan pertolongan bila perlu.

Masih tidak yakin? Cuba fikirkan kisah ini.

Aiman adalah penyelia kilang  membuat perabot. Dia mahu  menggaji seorang pembantu untuk menolong pelanggan dan membuat jualan. Beliau mengiklankan jawatan kosong tersebut di akhbar dan menyatakan pengalaman dalam bidang jualan dan penjagaan permaidani sebagai syarat permohonan. Seramai 80 orang telah menghantar permohonan, tetapi hanya 4 dari 5 pemohon memenuhi syarat yang diminta. Selepas menemuduga mereka, Aiman berminat untuk mengambil Ihsan ke jawatan tersebut kerana dialah yang paling layak. Namun perawakan Ihsan tidak menarik dan dan Aiman bimbang jika dia mempamerkan sikap negatif terhadap pelanggan. Jadi Aiman bercadang untuk menangguhkan sementara pemilihan untuk jawatan tersebut.

Sementara itu, Aida, kawan baik Aiman telah memperkenalkan Aiman dengan seorang kenalan Aida iaitu Zaid yang pernah bekerja di kilang roti. Zaid memang tidak mahir tentang permaidani tetapi dia berperawakan menarik dan mudah mesra. Selepas berbual dengan Zaid, Aiman percaya bahawa Zaid boleh dilatih dalam selok belok permaidani. Aiman sedar walaupun Ihsan mempunyai kelayakan, tetapi dia tidak sesuai untuk jawatan tersebut. Aiman telah menawarkan jawatan tersebut kepada Zaid walaupun Zaid tidak pernah membuat permohonan untuk jawatan tersebut. Sesungguhnya, jika Zaid membuat permohonan, dia tentu tidak dipertimbangkan untuk temuduga kerana tidak mempunyai kelayakan yang diperlukan.

Aiman bernasib baik dipertemukan dengan Zaid dan Zaid  pula terkejut kerana ditawarkan pekerjaan tersebut. Zaid telah menggunakan kemahiran interpersonal manakala Ihsan masih terus memohon jawatan kosong menerusi iklan.


Bersambung........

Tuesday, January 11, 2011

Siapa inginkan maklumat ini?

Sudah lebih 10 tahun aku menterjemahkan risalah kecil ini. Aku tokok tambah dengan idea dan pengalamanku sendiri. Siapa inginkannya?

Banyak jawatan-jawatan kosong dengan gaji yang lumayan tidak diiklankan di surat khabar atau di media elektronik. Jadi bagaimana mendapatkannya?


Fakta yang tidak boleh disangkal kerana jawatan kosong yang tidak diiklankan ini memang wujud.


Pernahkah anda mengalami situasi seperti di atas?

Saya menanti response samada maklumat berguna ini boleh dijual?

Jumpa lagi.

Wednesday, January 5, 2011

Saya tengok boss kecil saja!!!!

Seorang ketua jabatan bersama beberapa pegawainya menaiki sebuah van jabatan untuk menghadiri satu majlis yang diresmikan  oleh seorang menteri. Perjalanan mengambil masa kira-kira satu jam untuk sampai. Ketua jabatan tersebut memang amat dikenali di negerinya.Beliau juga dilihat  sebagai ketua yang tegas oleh kakitangannya. Dalam perjalanan tiba-tiba van bergoyang-goyang dan pemandu terpaksa menghentikan van tersebut di tepi jalan di kaki sebuah bukit. Semua penumpang turun untuk memeriksa apa yang berlaku. Rupa-rupanya salah satu tayar kempis. Tayar yang kempis tersebut hampir botak.

Ketua jabatan tersebut dengan nada kesal memarahi pemandu kerana tidak memeriksa tayar terlebih dahulu. Dia berfikir mungkin terlepas peluang dia untuk duduk di atas pentas di belakang menteri atau bersalam dengan menteri. Dia terus merungut sambil melihat pemandu dan pegawainya menukar tayar gantian. Sementara menunggu tayar gantian siap dipasang, beliau mendaki bukit berhampiran untuk melihat pemandangan yang indah disekeliling. Selepas tayar siap dipasang, dia dipanggil turun oleh pegawainya untuk meneruskan perjalanan.

"Wah!! kuat juga tuan panjat bukit tadi, apa yang tuan nampak?, Tanya seorang pegawai untuk menyejukkan kembali suasana. "Tengok kakila. Masa berdiri di atas tadi, aku nampak hang pa di bawah kecil-kecil saja" Jawabnya bangga sambil menyindir. Perasaan tidak puas hatinya masih belum hilang. Dia mungkin sudah terlewat untuk berada di atas pentas bersama menteri."Hah! Hang pa nampak aku tak masa aku duduk kat atas tadi? Tanya ketua jabatan itu kembali kepada salah seorang pegawainya. Pegawai tersebut yang agak berumur berbanding pegawai yang lain dengan selamba menjawab, "Masa tuan berada di atas tadi, kami pun nampak tuan kecil saja, macam semut, rasa nak sembur dengan Ridsect" Ketua jabatan tersebut terdiam dan rasa terpukul dengan jawapan tersebut. Dia tidak menyangka pegawai tersebut akan memberi jawapan sedemikian.

Apakah mesej yang anda dapat dari cerita ini?

Saturday, December 25, 2010

Aku tak apa, orang lain tak boleh.

                                                    Gambar hiasan

Seperti biasa setiap kali hari Jumaat, aku akan bersembahyang Jumaat di sebuah mesjid di daerahku. Setiap kali Jumaat juga di mesjid itu, orang yang sama iaitu Ahmad(bukan nama sebenar) akan menjadi muaz'zin(bilal) walaupun khatib yang bertugas membaca khutbah akan bersilih ganti. Pada suatu hari Jumaat, Ahmad tidak bertugas dan aku melihat orang lain menjadi bilal  melaungkan azan kedua sebelum khatib membaca khutbah. Ahmad berada berhampiran denganku berdiri menyandar di dinding mesjid bersama seorang lagi rakan.

Sebagaimana biasa sebelum khatib mula membaca khutbah, bilal akan membaca sepotong hadis yang antara  maksudnya, "...........dan janganlah kamu bercakap-cakap ketika khatib membaca khutbah. Jika kamu berkata-kata hatta berkata 'DIAM' sekalipun kepada rakan kamu, maka hilanglah pahala Jumaat kamu. Jadi hendaklah kamu mendengar dan taat mudah-mudahan kamu mendapat rahmat" Hadis ini akan terus diulang-ulang setiap kali sembahyang Jumaat sebelum khatib membaca khutbah.Begitu juga Ahmad, akan turut menyampaikan pesanan ini apabila giliran dia bertugas sebagai bilal melaungkan azan kedua.

Namun begitu pada hari Jumaat tersebut sewaktu khatib membaca khutbah, aku melihat Ahmad terus berbual-bual dengan rakannya sambil berdiri di tepi dinding mesjid di sebelahku. Gelagat mereka turut diperhatikan oleh jemaah yang lain. Mereka terus berbual-bual sehinggalah selesai khutbah yang pertama. Mereka hanya berhenti berbual apabila khatib membaca khutbah yang kedua. Tumpuanku kepada isi khutbah memang terganggu bila melihat gelagat mereka. Terfikir difikiranku kenapakah orang yang sering menyampaikan pesanan sebelum khatib membaca khutbah supaya semua jemaah diam dan memberi tumpuan kepada khatib boleh bersembang semasa khatib membaca khutbah dan gelagatnya dapat dilihat oleh semua ahli jemaah? Apakah pesanannya selama ini hanya semata-mata untuk memenuhi tugas sebagai bilal sahaja? Apakah dia merasakan bahawa dia terkecuali kerana dia bilal, dan tidak perlu mematuhi atau menunjukkan teladan yang baik kepada semua jemaah?

Pada hari ini, kita mempunyai ramai tenaga yang boleh bercakap, berkhutbah atau berceramah, tapi kita kekurangan tenaga dalam menampilkan contoh-contoh. Kadang-kadang orang yang sering bercakap pasal kasih sayang itu, jiwanya penuh dengan perasaan benci. Orang yang sering bercakap pasal perpaduan sering mempamerkan permusuhan dalam tindakannya. Hal sebegini juga boleh berlaku pada diri kita sendiri. Kita tahu bahawa mengumpat, mengeji, mencaci, memfitnah itu haram dan berdosa tetapi adakalanya kita melakukannya tanpa kita sedari.

Maka marilah kita sama-sama merenung  ayat Al Quran Surah As Saff ayat 2 dan 3 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu berkata-kata perkara yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu berkata-kata perkara-perkara yang kamu tidak kerjakan."


Jumpa lagi.

Wednesday, December 22, 2010

Anok tu apa ayah?

 
Gambar-gambar di atas diambil dari sebuah laman blog.


"Anok tu apa ayah?, loghat Negeri Sembilan ke?" Anakku Aida yang beumur 9 tahun pernah bertanya soalan itu apabila dia melayari facebook aku yang menggunakan nama samaran Anok. Perkataan itu tentulah asing bagi mereka kerana mereka dilahirkan dalam zaman di mana peralatan tradisional seperti anok, lesung kaki, kuku kambing, taut, tuar, serkap, bubu, kukur kelapa, badang dan lain-lain sudah tidak kedapatan lagi samada di  dalam rumah atau di halaman rumah. Kalau ada pun peralatan tersebut, ia hanya tersimpan di dalam stor atau di belakang rumah-rumah kampung. Anak-anak sekarang membesar dalam zaman 'play station', kereta 'remote control' ASTRO dan KFC.

Anok adalah sejenis kenderaan tanpa roda yang ditarik oleh kerbau. Ia digunakan untuk mengangkut guni-guni padi di tengah sawah yang berlumpur ke daratan atau jalan bendang yang lebih rata. Kemudian padi-padi tersebut akan diangkut dengan lori ke tempat lain atau dibawa balik ke rumah untuk dijemur. Padi yang telah kering dijemur dan 'dianginkan'kemudian disimpan dalam rumah kecil yang dipanggil jelapang. Jika petani tersebut  inginkan beras, padi tersebut dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke kilang beras berhampiran dengan basikal tua untuk dimesin menjadi beras. Jika mereka inginkan wang, padi tersebut akan dibawa ke kedai cina berhampiran untuk dijual. Ada juga pengantin baru diarak menaiki anok.Tetapi pemandangan begitu sudah tiada lagi. Orang yang menanam padipun membeli beras dikedai untuk kegunaan sendiri. Peralatan moden mengambil alih penanaman padi. Maka kenderaan anok pun sudah tiada lagi.

Anok adalah lambang penderitaan, kegetiran, kemiskinan, kepayahan penduduk kampung zaman dahulu. Mereka berjuang untuk hidup, membesarkan anak-anak dan menyara keluarga. Sewaktu kecil aku pernah menumpang menaiki anok dan duduk di atas guni padi. Maka bertambah lagilah beban kerbau tersebut. Aku juga melihat betapa menderitanya sang kerbau menarik anok dengan kayu bengkok penyambung lengan anok berada di atas tengkuknya dengan 2 atau tiga guni padi berada di atas anok tersebut. Kalau kerbau tersebut digantikan dengan orang untuk menarik anok tersebut, bayangkan apa akan terjadi.

Belajarlah untuk tidak merungut,berkeluh kesah dengan kesukaran dan kepayahan yang dihadapi.  Bersyukurlah dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan. Kalau selama ini kita hanya memerhati sahaja kejayaan orang dan bercerita tentang kejayaan orang, maka sudah tiba masanya untuk kita juga turut berjaya dan membiarkan orang lain pula bercerita tentang kejayaan kita. Anggaplah segala kesukaran dan masalah sebagai cabaran, bukan halangan. Kejayaan yang diperolehi dalam keadaan serba sukar dan serba kekurangan, itu adalah petanda satu pengurusan hidup yang cemerlang. Kejayaan yang diperolehi dalam keadaan semua kemudahan telah tersedia, itu adalah pencapaian yang biasa sahaja walaupun boleh dibanggakan.

"Aku sering bersedih kerana tidak mempunyai kasut, sehinggalah aku terjumpa orang yang tidak ada kaki"
 - Unknown

Jumpa lagi.

Tuesday, December 21, 2010

Salam Perkenalan

Assalamualaikum. Saya Shamlan Bin Halim, akan bersama anda memeriahkan dunia blog. Fokus blog saya adalah pengalaman-pengalaman hidup masa lalu yang boleh dijadikan panduan untuk menerajui hidup masa depan. Kisah-kisah motivasi yang menaikkan semangat. Sekali sekala bercerita hal-hal politik tanahair. Saya seorang pegawai agensi kerajaan yang sering dijemput menyampaikan ceramah mengenai pengurusan kewangan dan akaun kepada usahawan-usahawan kecil peserta-peserta kursus anjuran pelbagai jabatan.

Pengalaman hidup yang getir adalah guru terbaik dalam kehidupan. Menjadi anak yatim pada usia 11 tahun bersama 4 lagi kakak. Hilang dahan tempat bergantung dan terpaksa berdikari. Pernah keputusan wang dan makanan. Mencari sendiri ikan di bendang untuk dibuat lauk dengan cara menyerkap, tahan 'taut'( sejenis joran pendek yang dipacak di batas bendang), tahan 'tuar',  menyeluk lubang-lubang yang muncul di tebing sungai apabila air surut untuk menangkap ikan haruan. Adakalanya menarik ular tanah dan biawak yang keluar dari lubang tersebut. Apabila hilang takut dan terkejut, menyeluk kembali lubang-lubang tersebut tanpa memikirkan risiko. Mengutip tangkai-tangkai padi yang tercicir dari jentera penuai untuk dijual semula. Hampir-hampir dipatuk ular senduk apabila mengambil upah mengetam padi. Sedih melihat kuih yang dibuat oleh ibu tidak habis dijual dan akhirnya tolong habiskan sendiri.

Terlalu banyak kenangan yang mengusik jiwa. Anak-anakku tidak merasai keperitan ini semua.

Jumpa lagi.